Wednesday, June 5, 2013

[Story] Dari Dua Dunia- Bab 1: Pertemuan

Okay so this is chapter one for my crack pairing story! Hibari seems weak in this. I purposely make him that way since he's always been tough in KHR. No worry, it won't go beyond that. I promise. LOL

Did you know that this story is in Bahasa Malaysia? If you're thinking that you want to read it, you can use Google Translate. But it's kind of gibberish. Believe me I tried beforehand.





Bab 1- Pertemuan

                Apa yang telah berlaku? Kenapa ada asap berwarna pink menyelubungi aku? Kenapa aku rasa terawang-awang di ruang ini? Ke mana aku akan pergi? Terlalu banyak soalan di dalam fikiran Hibari.

                Tiada jawapan. Ah, dia bukannya mengharapkan seseorang yang muncul dari entah mana akan menjawabnya. Dia membiarkan dirinya menyusur dalam ruang gelap yang tidak diketahui penghujungnya. Sesekali dia cuba mendongakkan kepalanya ke atas, dengan mengharapkan yang dia akan dapat melihat sesuatu.

                Tiada hasil.

                Dia kembali ke posisi asal. Sambil menongkat dagunya dengan tonfa yang setia di sampingnya, dia cuba memikirkan apa yang telah berlaku terhadap dirinya sebentar tadi. Mula-mula, Dino datang memberitahunya tentang masalah yang muncul daripada kesilapan teknikal pada bazooka milik si Lambo. Lepas itu dia pergi mencari bazooka tersebut. Kemudian…. 

                Hibari menepuk tapak tangannya, dengan muka terkejut. Ya! Dia telah diserang oleh bazooka tersebut semasa dia cuba mengambilnya di dalam kedai gula-gula di bandar Namomori. Maka dia akan dipindahkan ke masa akan datang, 10 tahun kemudian!

                Tapi tunggu kejap! Hibari memikirkan kembali apa yang telah dikatakan oleh Dino…

                Giannini masih buat kajian terhadap masalahnya itu, maka kita masih tak tahu apa yang akan berlaku jika seseorang ditembak oleh bazooka itu.

                Hibari terkedu seketika. Jika Giannini masih tidak tahu apa yang akan berlaku, jadi mungkinkah dia tidak akan ke 10 tahun akan datang? Adakan dia akan ke 10 tahun sebelumnya? Mungkin dia akan ke aliran masa yang lain? Atau ke planet lain? Atau yang paling teruk, ke tempat yang tiada hidupan!? Hibari mulai diserang panik, peluh sudah mula memenuhi kepalanya dan juga kedua-dua tapak tangannya sehinggakan tonfa kesayangannya hampir terjatuh. Nasib baik dia sempat menyambutnya lalu diselitkan ke tali pinggang dan diikat kemas dengan seutas rantai besi yang memang tersedia ada. 

                Bertenang, Hibari menggosok dadanya sambil bernafas perlahan-lahan. Sekarang ini bukan masanya untuk panik dan membuat konklusi melulu, aku kena relaks dan bersabar, dia bermonolog sendirian. Apabila dia mearasakan degupan jantungnya telah kembali seperti normal, dia mengalihkan pandangan ke arah depan. Sebenarnya dia sudah hilang arah tujuan, tapi dia cuba meyakinkan dirinya bahawa arah yang ditujunya merupakan arah hadapan. 

                Perjalanan tanpa arah tujuan ini membosankan Hibari. Dia cuba melelapkan matanya seketika… tapi tidak dapat kerana dia merasakan ada suatu pusaran berada di atas kepalanya. Semakin kuat dan semakin kuat hinggakan tubuh badan Hibari yang terapung itu seakan-akan disedut. Hibari, yang kini sudah bosan di dalam aliran masa yang gelap, membiarkan saja dirinya ditelan oleh pusaran. Hibari lalu memejamkan matanya…

                Tarikan gravity mula mengambil alih tubuh badan Hibari yang menarik ke muka bumi yang tidak diketahuinya. Cahaya putih yang terang menusuk mata Hibari hinggakan dia terasa seperti dia menjadi buta seketika. Setelah dia membiasakan dirinya dengan cahaya putih itu, dia membuka matanya perlahan-lahan. Ada bangunan. Okey, maka dia berada di bandar. Dia cuba melihat sekeliling tapi yang paling penting dia kena mendarat sekarang kerana dia telah melihat darat ataupun dia akan mengalami lumpuh selamanya! Sebelum dia sempat melakukan apa-apa langkah keselamatan sebelum mendarat, dia sudahpun menghenyakkan belakang badannya ke atas lantai rumput yang tebal. 

                Jantung Hibari berdegup kencang. Dia tidak pernah mengalami situasi sebegini. Dia tidak pernah untuk mencuba lompatan langit ataupun lompatan bungee seumur hidupnya. Tapi hari ini… dia telah melakukannya semuanya secara tidak sengaja. 

                Dia sedikit pun tidak suka.

                Hibari memusingkan badannya menghadap langit. Langit yang sungguh biru. Tenang. Dia bangkit dan duduk dalam membongkokkan badannya. Dia cuba memeriksa anggota badannya jika dia mengalami kecederaan. Dia sentuh kedua-dua pergelangan kakinya. Okey. Tangannya beralih ke betis, ke paha. Tiada masalah. Dia pegang pula pinggangnya. Okey— tunggu sebentar, macam ada benda tertinggal… Dia meraba-raba keliling pinggangnya. Terasa kosong. Hibari terbeliak. Tonfa! Tonfanya sudah hilang! 

                Hibari segera bangun dalam keadaan menggelabah, mencari kawasan sekelilingnya jika ada tonfanya. Malangnya, tiada. Dia cari juga di celah-celah semak, mana tahu terselit. Tapi tiada juga. Dia terduduk dan melihat kembali cebisan rantai besi yang sepatutnya telah diikat kemas di pinggangnya. Patutlah, rantai besi itu dah putus! Memang patut pun tonfanya hilang sekali! 

                Hibari mengeluh.“Apa yang aku perlu lakukan? Itu sajalah senjata yang aku ada. Sekarang aku tiada perlindungan langsung…” Hibari termenung telapak tangannya. Alangkah bagusnya jika dia belajar seni kung fu dengan I-Pin, tidaklah dia risau sangat walaupun I-Pin kelihatan agak pelik dan seperti mempunyai hati terhadapnya.

                Tapi ini bukan masa untuk bermelankolik! Hibari seakan menerima satu semangat baru terus bangkit dari lantai rumput itu dan berdiri tegak. Kepalanya diarahkan ke arah satu pejalan kaki.

                “Baik aku pergi meneroka tempat baru ini. Mungkin aku boleh tanya orang cara untuk pulang,”dia berfikir sendirian dengan lebih positif. 

                Hibari memulakan langkahnya dengan yakin apabila belakangnya terasa ditepuk dengan ganas oleh satu kuasa  yang tidak diketahui. Hibari berhenti. Dia memusingkan kepalanya ke arah belakang. Ada dua orang lelaki yang muncul di hadapannya. Salah seorang daripadanya bertindik di tepi bibir mulut dan yang lagi seorang  berantai besi seperti rantai basikal, dan kedua-duanya sedang tergelak menghadapnya. Hibari hanya memandang tanpa rasa gerun. Ni mesti nak cari gaduh, fikirnya.

                Lelaki yang berantai besi menepuk bahunya. “Nampaknya ada orang yang sesat, betul tak?” katanya sambil tergelak lagi.

                Lelaki yang bertindik mengurut kepalanya sambil tersengih. “Haha, tak habis-habis dengan orang yang sesat muncul entah dari mana di taman ni. Tapi tak mengapa, bagus juga kalau difikirkan balik.”

                “Memang pun. Kita ada permainan baru setiap minggu. Seronok~” si rantai besi menjilat bibirnya, kini sudahpun memegang erat bahu Hibari. Hibari mengecilkan matanya, geli. Dengan kasar dia menepis balik tangan samseng itu.

                “Amboi, main kasar nampak? Tak sabar ke?” si tindik memerli Hibari lalu menerkam pergelangan tangan kiri Hibari. Si rantai besi pura-pura terkejut. Hibari mengerling ke arah mereka berdua. Aku tak boleh biarkan.

                “…”

                “Hah? Apa dia? Tak dengar.” Si tindik menekup tangannya di telinganya dan menghampiri mulut Hibari.

                “…”

                “Cuba cakap kuat-kuat sikit? Abang tak dengar—waargh!” Hibari menggigit telinga sekuat hatinya hingga mengeluarkan darah yang hanyir lalu pecut melarikan diri.

                “Woi! Jangan lari!” Si rantai besi mula mengorak langkah untuk mengejar Hibari yang terlepas dari pandangannya. Si tindik tertunduk menahan kesakitan yang dialami. 

                “Kejar dia! Jangan bagi dia lepaaaaaaaaaaaaasss!!!” raungan berbaur kemarahan dan kesakitan si tindik bergema di sekitar tempat yang Hibari muncul.

~~~

                “Hah…. hah… hah…”

                Hibari meneruskan lariannya tanpa arah tuju yang tepat. Apa yang penting dia jauh daripada dua orang yang jijik itu. Sesekali dia memalingkan kepalanya kearah belakang untuk memastikan tiada orang yang mengejarnya. Dia ternampak kelibat lelaki itu di belakangnya. Apalagi Hibari pun memecutkan langkahnya dan lari dan teruskan berlari. Akhhirnya dia tiba di satu tempat yang dia paling tidak suka.

                Jalan mati.

                “Alamak… macam mana ni...” Hibari mencari-cari ruang untuk dia bersembunyi. Dia sebenarnya benci sekali untuk melarikan diri daripada musuh tetapi apabila tonfa kegemarannya sudah hilang entah ke mana dia menjadi selemah-lemah insan. Malang sekali, tiada tempat yang membolehkannya bersembunyi ketika itu. Bunyi tapak kaki semakin menghampirinya. Hibari semakin panik, peluh sekali lagi membasahi tubuhnya. Akhirnya dia berdiri kaku. Bunyi tapak kaki sudah berhenti. Dia terasa bahang di belakangnya kian menghampirinya. Hibari memusingkan kepala ke belakang perlahan-lahan. Lelaki berantai besi di belakangnya. Dan tersengih puas.

                “Jumpa… pun…” dengan termengah-mengah dia menyatakan kepuasan hatinya berjumpa dengan lelaki yang telah menggigit kawannya tadi. Dia bergerak selangkah ke hadapan. Hibari selangkah ke belakang. Si rantai besi ke depan. Hibari ke belakang. Akhirnya Hibari terlanggar dinding. Dinding jalan mati. Hibari terkejut. Dia sudah tiba di jalan buntu.

                “Hahaha… nak lari ke mana hah…?” si rantai besi tersenyum puas lalu merapati tubuhnya ke Hibari. Hibari cuba untuk menjauhkan dirinya daripada lelaki itu tetapi tidak berjaya. Kini jarak antara muka Hibari dengan lelaki itu tinggal satu sentimeter. Bau nafas yang hanyir menusuk hidung Hibari. Hibari menahan diri.

                “Hehehe… muka boleh tahan… Agak-agak darah kau sedap ke…?” Si rantai besi mula menganga dan menghampiri tengkuk Hibari. Hibari memejamkan matanya, pasrah.

                Tolong… sesiapa… selamatkan aku…

                BONG! Sesuatu yang keras mengetuk di kepala lelaki di hadapannya.

                “Aduh! Sakit! Siapa yang buat!?” Dia memusingkan kepalanya sambil menahan kesakitan. Dan tergamam. Mukanya terus bertukar menjadi putih melepak. Peluh keluar dari pori kulitnya. Apa yang telah berlaku? Apa yang muncul di hadapannya sehinggakan dia menjadi begitu takut?

                 “Tak baik membuli orang.” Terdengar satu suara. Suara yang agak besar. Hibari memanjangkan lehernya, tapi dia tetap tidak nampak. Apa yang dia tahu lelaki yang kini ketakutan sudah menggigil. Makin lama makin kuat. Hibari menjadi semakin pelik. Apahal ni?

                “Betul tu. Lebih baik kau pergi dari sini.” Muncul satu suara yang lain, lebih lembut dari yang tadi. Dengan segera si rantai besi melutut ke lantai.

                “M-maaf, tuan! Takkan berlaku lagi!” si rantai besi cepat-cepat menundukkan kepalanya lalu bergegas lari dan hilang dari pandangan. Hibari hanya memandang dengan muka keliru. 

                “Kenapalah ada saja orang yang suka membuli? Tak boleh ke hidup dengan aman damai?” kedengaran satu keluhan keluar dari mulut salah seorang daripada lelaki yang telah menghalau si rantai besi. Hibari mengalihkan pandangannya ke arah suara itu. Itu suara lelaki yang lembut. 

                “Entah. Seronok kut.” Itu suara yang pukul si rantai besi tadi. Hibari memandang seorang lelaki yang berdiri di sebelah lalaki yang bersuara lebih lembut. Dia hanya mampu melihat samar-samar saja kerana persekitaran yang agak gelap. Sebaik saja dia dapat menyesuaikan matanya dengan kawasan yang gelap itu, dua orang lelaki itu sudahpun menghadapnya dengan muka penuh tanda tanya. 

                “Awak… orang luar?” tanya si lelaki bersuara lembut.

                Kini Hibari dapat melihat sepenuhnya manusia di depannya. Di sebelah kirinya ada seorang lelaki yang berambut tegak berbadan sederhana dan memakai cermin mata berbingkai ala-ala hijau pucuk pisang, berbaju sut yang berwarna biru gelap dan memakai tali leher berpetak-petak. Di sebelah kanannya pula ada seorang lelaki yang mempunyai gaya rambut yang hampir sama dengan lelaki sebelum ini, tapi mempunyai badan yang lebih lebar dan tinggi, memakai anak baju dan seluar panjang yang bercorak petak-petak. Kedua-duanya memakai anting-anting yang sepadan antara satu sama lain. Hibari asyik memerhatikan pakaian mereka berdua hinggakan dia tidak mendengar soalan yang ditujukan kepadanya.

                “Haha, awak tak dengar ya? Hmm…. awak bukan orang sini, kan?” tanya kembali lelaki yang bercermin mata sambil tersenyum.

                Hibari mengangguk. Entah mengapa suaranya tidak terkeluar dari tekaknya. Mungkin masih terkejut dengan kejadian sebentar tadi.

                Lelaki bercermin mata mengangguk. “Dah agak dah. Tengok dari gaya berpakaian pun tahu.” Lelaki yang tinggi pun turut mengangguk, seperti menyetujui kata-kata lelaki bercermin mata. Hibari melihat dirinya. Teruk sangat ke gaya pakaian aku? Aku memakai pakaianku seperti biasa; uniform ahli kelab disiplin yang terdiri daripada shirt berlengan panjang berwarna putih, seluar panjang berwarna hitam, kasut hitam dan jaket hitam. Ada masalah ke?

                “Tak adalah. Cuma agak berbeza dari kami. Itu saja,” lelaki yang tinggi menjawab soalan yang bermain di fikiran Hibari. Hibari terkesima seketika. Dia tahu apa yang aku fikirkan? Biar betul?

                “Kami tak membaca fikiran awak, kami cuma mengagak saja. Macam…. kami ada kemahiran membaca mimik muka seseorang,” kata si lelaki bercermin mata, masih lagi tersenyum. Hibari terpegun. Hebat.

                “Baiklah, disebabkan awak tiada tempat tinggal, maka sudikah awak tinggal bersama kami?” tanya lelaki bercermin mata sambil memandang tepat ke arah Hibari.

                Apa? Tinggal bersama? Dengan mereka?

                “Sementara waktu saja. Nanti kami carikan rumah,” terang lelaki yang tinggi. Lelaki itu mencangkung di hadapan Hibari lalu menghulurkan tangannya. “Jawapan?”

                Ah? Haruskah aku menjawabnya? Kalau aku jawab ya, apa yang mereka akan lakukan padaku? Buat uji kaji seperti tikus makmal? Tapi kalau aku jawab tidak, di manakah aku harus tinggal? Sudahlah tempat ini sungguh asing bagiku, Hibari mencongak jawapan dalam kepalanya. Akhirnya dia menjawab…

                “Okey. Tapi jangan buat apa-apa kat aku,” Hibari memberi amaran terlebih dahulu. Lebih baik begini.

                Lelaki bercermin mata itu tergelak. “Jangan risau, percaya pada kami. Okey? Oh, nama saya Virus.” 

                “Dan saya Trip. Salam perkenalan,” lelaki tinggi yang bernama Trip menghulur kembali tangannya untuk bersalam. Hibari termenung.

                “Hibari…” suara Hibari tersangkut.

                “Hah?” 

                “Hibari…. Kyouya,” Keluar juga nama penuhnya lalu dia menyambut tangan Trip. Tanda perkenalan. Tiada permusuhan. 

                Lelaki bercermin mata bernama Virus tersenyum. “Baiklah, Hibari-kun, selamat datang ke Pulau Midorijima.”


 Now that Hibari is at Midorijima Island, what is their next activity? :D
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...