Friday, June 7, 2013

[Story] Dari Dua Dunia- Bab 2: Langkah Pertama

Oh wow I manage to make chapter 2 this quick? I'm impressed. Still in Bahasa Malaysia. Derp.

So, Hibari is TOTALLY OUT OF CHARACTER HAHAHA.




Bab 2- Langkah Pertama


                “Pulau… M-midorijima…?” Begitu asing sekali Hibari menyebutnya. Belum pernah dia mendengar nama tempat seperti itu. Di manakah dia sebenarnya? Adakah dia masih berada di Jepun?

                Virus menggaru pipinya yang tidak gatal. “Ah, lupa pula yang awak bukan orang sini. Pulau Midorijima adalah sebuah pulau yang terletak di barat daya Jepun.”

                “Haah, kita berada di atas pulau sekarang,” jelas Trip. 

                Hibari menjeling. Aku tahulah yang kita berada di atas pulau sekarang, ingat aku ni bodoh sangat ke? monolognya seorang. Tapi seingatnya dia memang belum pernah mendengar nama pulau ini. Kemungkinan besar yang dia kini tidak berada di aliran sezamannya. Mungkin ke zaman hadapan, mungkin tidak. Dia ingin menanyakan soalan kepada mereka berdua tetapi telah dipotong dengan satu bunyi. 

                Kruuu…

                Semua mata memandang Hibari perlahan-lahan. Hibari mengerutkan dahinya, tidak faham.

                “Bunyi awak ke tu?” tanya Virus, sambil memasang telinga di sekeliling, takut samseng tadi datang kembali.

                “Tida—”

                Kruuu…

                Bunyi itu datang kembali. Kali ini dengan lebih kuat dan jelas. Ia datang dari arah Hibari. Hibari memandang dirinya. 

                Perutnya berbunyi.

                Baru Hibari teringat yang dia belum mengambil makan tengah harinya di bilik disiplin. Ini semua gara-gara si kuda tak guna itu yang membawa berita terkejut pada waktu dia sedang melepak di bumbung sekolah. Kalau tidak dia sudah pun kekenyangan. Muka Hibari sedikit merah tetapi tidak jelas kelihatan di kawasan yang gelap itu.

                Trip tersengih. “Oh, awak lapar rupanya. Patutlah muka awak nampak pucat lesi saja.” Hibari cuba untuk  menahan malunya dengan melakukan tumbukan ringan ke arah Trip, tapi tidak berjaya. Lengannya telah ditangkap dengan senangnya oleh lelaki bertubuh besar itu. “Tengok, nak tumbuk pun tak larat, dah macam kebulur pun ada juga. Macam mana?” Trip memandang Virus seperti mendapatkan kepastiannya terlebih dahulu. Pegangannya pada lengan Hibari melonggar membolehkannya melepaskan diri. 

                Virus membetulkan cermin matanya. “Nampaknya kita kenalah cari tempat makan di sekitar kawasan ini. Apa yang menarik?”

                “Hmmm….” Trip melakukan pemetaan secara mental dalam fikirannya. “Apa yang aku ingat keluar saja dari jalan mati ni ada kedai ramen, sushi, dan… bakeri. Itu saja.”

                “Kira okeylah tu. Hibari-kun, awak suka kedai makanan yang mana?” Virus menanyakan soalan kepada Hibari. Hibari tidaklah seorang yang pemilih, tapi dia tidak suka makanan yang manis. Itu saja.

                “Saya tidak suka makanan manis.”

                “Jadi?”

                “Itu saja,” jawab Hibari ringkas.

                Virus mengeluh. “Haish, berat mulut betullah budak ni. Memang macam kau masa dulu,” dia tergelak sopan ke arah Trip yang sudah pun mencekak pinggangnya.

                “Tak berkaitan dengan akulah,” muncung Trip sambil mengerling Hibari yang buat muka tak kisah. “Apa-apa hal pun kita kena keluar dari tempat ini dulu. Rimas.”

                “Betul tu. Mari, Hibari-kun, kita pergi makan dulu,” pelawa Virus kepada Hibari. Hibari hanya mengikuti langkah mereka berdua. 

                Hampir dua minit berjalan, mereka semua tembus ke jalan utama. Hibari melihat keadaan sekelilingnya. Boleh dikatakan yang bandar di sini semuanya nampak normal; ada kedai pakaian, hotel murah, bar, macam sebuah bandar. Tapi bandar ini memberikan satu perasaan yang nostalgik. Seperti sebuah bandar lama. Hmm, betul tu, kebanyakan bangunan mempunyai warna keperang-perangan, cuma dihiasi dengan hiasan lampu neon yang banyak untuk menjadikannya nampak menarik. Pelik. Pulau ini memang pelik, fikir Hibari.

                “Dah sampai.” Hibari berhenti berjalan dan melihat papan tanda kedai di hadapannya. Kedai sushi. Okeylah kut, Hibari fikir. Virus dan Trip sudah melangkah masuk ke dalam kedai itu. Hibari pun turut masuk ke dalam.

                “Pak cik! Bagi sushi set A tiga ya!” Virus sudah pun membuat pesanan sebaik saja Hibari mengambil tempat duduk di hadapan Trip pada salah satu meja kosong. Virus terus duduk di tepi Hibari dengan senyuman yang tidak pernah lekang dari mukanya.

                “Saya dah membuat pesanan yang istimewa untuk kita semua. Harap awak suka, ya.” Hibari hanya memandang sepi tanpa berkata apa.

                “Bukan ke set A tu agak mahal?” tanya Trip dengan hairan.

                “Alah, sekali-sekala.”

                “Kau bayar.”

                “Serahkan saja pada aku. Okey Hibari-kun, cuba ceritakan macam mana awak boleh sampai ke sini,” Virus mula menyoal tentang Hibari. 

                “… Perlu ke aku cerita?” Hibari agak keberatan untuk membicarakan soal itu.

                Virus meletakkan siku kanannya ke atas meja sambil menongkat dagu. “Kalau awak tak cerita macam mana kami nak bantu awak?” Trip mengangguk.

                “Boleh ke kau tolong?”

                Trip mengangkat bahunya secara spontan. “Tengok dulu.” 

                Hibari mengeluh berat. Virus dan Trip terus memandangnya dengan penuh perhatian. Akhirnya dia pun mula bercerita daripada perjumpaan singkat antara Dino, pertemuan secara tidak sengaja dengan bazooka hinggalah dia tiba di sebuah padang di mana dia diganggu oleh dua orang samseng. Virus dan Trip. 

                Setelah dia habis bercerita, makanan yang telah dipesan oleh Virus tiba di meja mereka. Pelayan mengagihkan set hidangan itu dengan lancar. Hibari melihat hidangannya itu. Ada sushi belut panggang, tuna gulung, sushi udang, sushi telur ikan salmon dan juga secawan teh hijau yang hangat. Hah? Ini yang dikatakan mahal? Hibari terkesima.

                Trip pun turut terkejut. “Kau biar betul? Salah set ni.”

               “Betuuuul, tunggu sekejap. Nanti dia sampailah. Pak cik! Dah siap ke?” laung Virus ke arah tempat persediaan sushi. Dia ternampak kelibat tangan seorang tua menunjukkan tanda sokongan. Tak lama kemudia datang seorang pelanggan membawa satu lagi hidangan dari buluh berbentuk bulat. Apabila dihidangkan di hadapan mereka… Hibari sekali lagi terkejut.

                “Hah? Ini?!” Trip hampir menyembur air teh hijaunya yang baru dihirup seteguk. 

                “Inilah dia hidangan terhebat di Jepun; sashimi ikan buntal!” Virus tersenyum bangga bila menerangkan nama hidangan itu kepada mereka berdua tergamam. “Apa lagi, makanlah~” pelawanya ke Hibari.

                Hibari, yang masih terperanjat, tidak mengusik hidangannya yang berada di hadapannya. Apabila dihulurkan penyepit kayu oleh Virus, barulah dia mula memakan sushi yang ada. Sedap juga, gumam Hibari. Trip sudah pun menghabiskan sushinya yang kedua apabila dia meletakkan penyepitnya ke pinggan dan berhenti sejenak.

                “Eh, takkan kau dah habis makan?” tanya Virus, hairan.

                Trip membuat muka serius. “Aku baru terfikir. benda yang dipanggil Bazooka 10 Tahun ni, mesti ada tempoh kesannya habis kan?” dia memandang Hibari, meminta kepastian.

                “Ya, memang ada. Kesannya habis pada 5 minit,” katanya dengan yakin.

                “Kalau macam itu, bukan ke kesannya patut sudah habis pada waktu sekarang? Sekarang ni dah hampir 15 minit sejak kita berjumpa.”

                Hibari terdiam. Dia melihat jam di telefon bimbitnya. Sudah 6:20 PM. Betul juga. Hibari mula rasa tidak sedap hati. Dia sepatutnya sudah kembali ke Namimori tapi kenapa tidak berlaku? Hibari bangkit dari tempat duduk dengan segera.

                “Aku… nak pergi tempat yang aku tiba,” kata Hibari perlahan dan terus menuju ke pintu keluar. Virus dan Trip memandangnya lalu. 

                Virus mengurut dagunya. “Aku rasa kau kena ikut dia. Mana tahu kena serang balik macam tadi.”

                “…” tanpa berkata apa-apa Trip berdiri dan berjalan ke arah pintu keluar dengan langkah yang cepat.

                Virus mengeluh lembut. “Maknanya sushi ni semua kena bungkus bawa baliklah. Pak cik! Bungkus!”

~~~

                Di mana aku sekarang? Hibari terkial-kial melihat keadaan sekelilingnya. Cuma ada bangunan yang lama di kiri dan kanannya. Tiada pula tempat yang seperti dia mula-mula tiba di sini iaitu kawasan yang lapang seperti taman. Ingin juga dia menanya orang awam tentang lokasi tersebut tapi  belum sempat dia membuka mulut orang lain telah memberinya satu pandangan yang pelik lalu beredar dari situ. Ingat aku ni alien ke? Hibari mendengus tanda tidak puas hati. Dia meneruskan langkahnya tanpa arah tuju yang tetap.

                Akhirnya Hibari tiba di pondok usang. Macam mana dia tiba di situ pun dia kurang pasti tapi yang penting dia tidak selesa berada di situ. Macam ada sesuatu buruk yang akan berlaku di situ. Sebaik sahaja dia berpusing dari situ ada sekumpulan orang yang tidak dikenali  datang berduyung-duyung ke arahnya. Dia ternampak muka yang dikenalinya. 

                Si rantai besi dan si tindik. Dan mereka tersenyum sinis kepadanya.

                “Alamak…”

                Dengan sekelip mata mereka sudah mengepung Hibari dari semua arah. Hibari berdiri kaku. Dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan. Dia kini sudah terperangkap dan tidak berdaya untuk melawan mereka semua. Kalaulah dia ada bawa tonfa penduanya sekali… dia merasakan segumpal penyesalan dalam hatinya.

                “Sekarang macam mana hah? Tak ada siapa yang boleh tolong kau macam tadi!” si tindik menjerit ke arah Hibari. Telinga yang digigit oleh Hibari dibalut dengan kasar. Masih ada lagi kesan darah kering pada balutannya. Hibari tersenyum melihat hasilnya.

                “Apa yang kau senyum-senyum!?” si rantai besi menjerit tidak puas hati. Pekak rasa telinga Hibari mendengar jeritan mereka semua. 

                “Ah, pedulikan saja! Kita belasah dia!!!” laung orang di sekelilingnya sambil mengangkat-angkat kayu dan meluru kencang ke arah Hibari. Hibari hanya mampu untuk menundukkan kepalanya dan memejamkan matanya.

                DUSH! “Adoi!” Satu bunyi pukulan yang kuat berlaku dari arah tenggara, diikuti pula dengan jeritan yang penuh dengan kesakitan. Lambat laut persekitarannya menjadi hiruk-pikuk dengan bunyi pukulan dan jeritan. Hibari masih tidak mahu membuka matanya lagi. Apabila bunyi yang menakutkan itu telah surut, dia memberanikan dirinya untuk membuka mata dan dia melihat dirinya berada di tengah-tengah lautan manusia yang sudah pengsan dan luka teruk. Dan dia terlihat Trip, sedang menghantuk-hantukkan dahi si rantai besi dan si tindik berulang kali. Darah merah pekat semakin banyak mengalir dari tempat yang dihantuk. Tetapi tiada tanda yang Trip akan berhenti, malah semakin laju rentaknya dalam melakukan perbuatannya yang mengerikan itu.

                Setelah kedua-dua mangsa hantukan itu tidak lagi bergerak, Trip melepaskan genggamannya. Tangannya penuh dengan darah. Kemudian dia mengeluarkan sapu tangan dari kocek dadanya dan lap tangannya dengan tenang. Hibari, yang dari tadi melihat perbuatan lelaki tersebut, tergamam. Tidak semena-mena Tip memandang Hibari dengan sekilas membuatkan Hibari tersentak.

                “Oh, awak tengok semua tu tadi? Macam mana, hebat tak?” Trip tersengih, seperti meminta pujian daripada Hibari. Hibari hanya mampu berdiri kaku.

                “Apa-apa hal pun mereka semua ini tak boleh ganggu awak lagi.” Hibari mengelipkan matanya. Trip hairan melihat perubahan lelaki dihadapannya ini. “Kenapa?”

                Hibari masih tidak bersuara. Trip memandang tepat pada mata Hibari. “Awak takut ya? Sesiapa pun akan berasa takut jika perkara tadi berlaku pada dirinya.” Trip sekarang menepuk bahu Hibari dengan lembut. “Tak ada apa-apa yang akan berlaku lagi,” kini Trip sudah tersenyum padanya. Hibari tetap berdiri kaku, seperti tidak mendengar apa yang telah dikatakan oleh Trip.

                “Haish, apa lagi yang aku nak katakan?” Trip mengurut dagunya, hampir mengalah dengan sikap Hibari apabila tertimbul satu idea dalam fikirannya. “Mari cuba cara yang ini…” Trip mendekati Hibari, memegang dagunya, mendongakkan kepala Hibari dengan lembut dan akhir sekali…

                “Mmph…” satu kucupan ringan hinggap di dahi Hibari membuatkan lelaki si rambut hitam itu tersentak dan menjauhkan dirinya secara spontan. “Ha, bergerak pun. Mari, kita pulang. Virus dah menunggu di rumah,” senyum Trip sambil memimpin tangan Hibari dan berjalan seiring menuju ke pintu keluar.

                Otak Hibari tidak dapat memproses maklumat yang baru diterimanya tadi. Jantungnya berdegup kencang. Tangannya berpeluh. Kakinya bergerak lemah. Mukanya menjadi merah. dan fikirannya berkecamuk dengan satu ayat terbina dalam fikirannya.

                Trip…. cium aku?!


 Mwahahahah Trip is making his first move! I wonder what will happen next...

3 comments:

  1. YES! YES! Comel betul. Boleh bayangkan betapa merahnya muka Hibari. Kyaa~! Nak baca yang seterusnya~...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kankankan? Lepas ni..... scene bilik air ahahaha

      Delete
  2. Scene bilik air?! Kyaa~! Tak sabar. Tunggu. Ni dah kira spoiler dah ni. TAk pe. Lagi buatkan tak sabar nak tunggu.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...