Friday, July 26, 2013

[Story] Dari Dua Dunia- Bab 3: Kamikakushi

I totally forgot to post this chapter even though I finished this like last month or so. Hehe. Enjoy.

PS: In the middle of making this I went through a writer's block phase, so it won't be great as usual. (lol)


Bab 3- Kamikakushi


                Kini dia tinggal bersama Virus dan Trip di apartment mereka. Ia terletak hampir dengan pusat bandar, walau bagaimanapun kawasan di tempat tinggalnya itu boleh dikatakan sunyi tanpa bunyi kenderaan lalu-lalang. Mereka berdua memberikannya sebuah bilik kosong. Pada mulanya Trip mempelawa Hibari supaya berkongsi bilik dengannya namun ditolak sekeras-kerasnya oleh Virus.

                Bilik yang diduduki oleh Hibari itu merupakan bilik yang disediakan khas kepada tetamu. Bilik itu kelihatan baru dihias dengan perabot bersaiz sederhana dan lebih besar daripada biliknya tetapi dia masih tidak dapat menyesuaikan diri. Terlalu banyak perkara yang berlaku pada dirinya dalam masa satu hari, dia masih tidak dapat memproses maklumat itu sepenuhnya.

                Hibari termenung ke siling yang berwarna ungu cair sambil terbaring di atas katil yang empuk yang berbau lavender. Dia tidak menggemari bau-bauan seperti itu tapi dia terlalu penat untuk memikirkannya. Jari-jemarinya menyentuh dahi. Dengan tidak sengaja mukanya menjadi merah apabila teringat perkara yang berlaku petang tadi. Masih segar dalam ingatannya peristiwa tadi; muka Trip yang tersenyum padanya apabila dia melepaskan pegangannya daripada dagu Hibari, sentuhan lembut Trip di tapak tangannya… Hibari menutup mukanya dengan bantal untuk menyorok perasaan segannya namun tidak dapat.

                “Kenapa aku jadi macam ini…” perlahan dia berdialog. “Dahlah dia tu lelaki!” Hibari menghempas kepalanya pada bantal yang ditekup pada mukanya. Ada perubahan yang pelik telah berlaku pada dirinya, dia sendiri pun tidak pasti.

                “Adakah aku… tidak normal lagi?” Hibari tiada jawapan untuk soalan itu. “Ah, pedulikan! Aku kena cari jalan pulang ke Namimori!” Hibari bertekad. Tidak lama kemudian dia terdengar bunyi pintu diketuk tiga kali.

                 “Hibari? Awak di dalam ke?”

                Itu suara Virus, Hibari berkata dalam hati. “Kenapa?”

                “Ah, ingatkan awak tertidur. Mari turun, ada benda kami nak bincangkan dengan awak.”

                “Penting ke?”

                “Hmm boleh dikatakan macam itu.”

                Rasa malas datang menjenguk Hibari. “…esok tak boleh ke?”

                “Ah, awak penat ya? Tak mengapalah, kita jumpa esok. Selamat malam.” Kedengaran tapak kasut berlalu pergi dari pintu bilik itu. Hibari bangkit lalu duduk di tepi katil yang empuk itu, termenung ke arah sepasang yukata berwarna kelabu di tepinya. Itu baju yang disediakan oleh Virus petang tadi. Hibari menguap. Dia begitu mengantuk hinggakan dia malas hendak menukar pakaiannya itu. Dia menghenyakkan badannya kembali ke katil dan memejamkan matanya lalu tertidur dengan nyenyaknya.

~~~

                Pipipipipi…. Bunyi jam automatik berbunyi di tepi katil memasuki telinga Hibari. Dengan rasa sakit hati Hibari menghempas jam itu ke dinding menggunakan bantal golek di sisi kakinya. Akhirnya senyap. Hibari menggosok mata, rasa tidak puas hati kerana dikejutkan secara paksa oleh benda yang tidak bernyawa. Kenapalah manusia mencipta benda itu? Hibari merungut diam.

                Hibari melihat kembali jam yang dihempasnya itu. Pukul 7:00 AM. Ah, awal lagi nak pergi ke sekolah, dia berfikir lalu bersandar ke dinding. Dia melihat sekeliling. Macam tidak pernah nampak saja bilik ni, Hibari menanya dirinya. Tergerak hatinya untuk melihat pemandangan di tingkap berhampiran dengan katilnya itu. Belum sempat dia menyelak langsir dia terdengar bunyi pintu bilik diketuk. Hibari terdiam. Kemudian terdengar bunyi itu lagi.

                “Siapa?”

                 Dia terdengar bunyi tombol pintu dipulas-pulas. Hibari bangkit dari katil, cuba memberanikan dirinya untuk membuka pintu itu. Apabila dia membuka pintuk bilik itu, dia terlihat seorang lelaki berdiri dihadapannya dengan sebuah senyuman.

                 “Dah bangun?” lelaki itu tanya. Hibari hanya memandang lelaki itu. Siapa lelaki ini? Tak pernah jumpa pun.

                 “Kau siapa?”

                 Lelaki itu tergelak kecil. “Ai, baru semalam jumpa dah lupa balik? Apalah awak ni.” Sebaik habis saja dia berkata demikian dia memegang dagu Hibari dan mendongakkan kepalanya sambil tersengih.

                 “Dah ingat apa-apa?”

                 Hibari tersentak. Gaya ini… kalau tak silap…

                 “Trip?!” Hibari menepis tangan lelaki di hadapannya secara automatik. Mukanya sudah menjadi merah padam. Trip gelak terbahak-bahak melihat kelakuan Hibari.

                “Awak ni kelakarlah! Cepat sangat lupakan saya! Sudah sudah, jom turun makan sarapan. Virus dah sediakan makanan untuk awak,” katanya lalu mula berjalan ke arah tangga, meninggalkan Hibari yang masih malu di tepi pintu bilik.

                Rupa-rupanya dia masih berada di Pulau Midorijima ini. Perkara ini memang betul-betul berlaku! Bukannya mimpi! Hibari menggosok-gosok mukanya, masih tidak percaya. Tuntutan perut harus dipenuhi. Dia menutup pintu itu dan bergegas bersiap untuk bersarapan.

~~~

                Hibari tiba di meja makan. Trip sudah habis memakan bahagiannya sementara Virus masih mengelap peralatan dapur sambil memakai apron bercorak bunga matahari. Hibari terhenti langkahnya dan mengerutkan dahinya. Lelaki itu tidak sesuai memakai apron sebegitu. Hibari hanya mampu terdiam dan meneruskan langkahnya.

                “Yo,” Trip menegur Hibari yang sedang menarik kerusi, bersedia untuk duduk. Mulutnya tidak henti-henti tersenyum pada Hibari. Mungkin masih teringat peristiwa tadi. Hibari pura-pura tidak nampak kewujudan lelaki itu. Bunyi kerusi ditarik menarik perhatian Virus yang berada di dapur.

                “Ah, Hibari-kun, turun pun awak. Mari makan, saya sudah sediakan sarapan yang khas untuk awak,” dia mengangkat mangkuk yang berisi dengan nasi daripada dulang kayu dan berinya pada Hibari. Kemudian beberapa mangkuk lagi, berisi lauk-pauk. Hibari memandang hidangannya itu sekejap.

                “Kenapa? Macam pernah nampak lauk ini semua ke?”

                 Hibari mengangguk. Manakan tidak semua lauk di hadapannya itu merupakan makanan kegemarannya. Sup miso, ikan salmon gril, dan telur goreng gulung. Tiada sayur jeruk. Hibari kagum. Macam mana dia boleh tahu yang dia tidak suka akan sayur jeruk? Virus hanya tersenyum bangga di sisinya.

                “Dah agak dah, budak kecil mana suka sayur-sayuran ada dalam hidangan.” Dia membuka ikatan apron yang pelik itu dan duduk di sebuah kerusi kosong yang berada di hadapan Trip.

                 “Betul tu, nanti tak membesar baru tahu,” Trip menambah. Hibari hanya menjeling, pura-pura tidak dengar akan perlian tadi.

                 Dia memulakan suapannya yang pertama. Nasi yang baru dikukus itu membangkitkan selera Hibari, ditambah pula dengan sup miso yang hangat, ikan salmon gril dan juga telur goreng gulung. Dia terasa seperti sudah lama tidak berjumpa dengan hidangan sebegini. Sekejap saja hidangan dihadapannya sudah habis licin. Virus menghulurkan pula secawan teh hijau yang suam. Hibari meneguk air itu. Air itu tidak begitu kelat seperti selalu, Hibari berfikir sambil menghabiskan air di cawan itu. Setelah habis sarapannya itu barulah dia membuka mulut.

                 “Semalam kau ada datang ke bilik aku kan? Ada apa hal?” Hibari mengalihkan pandangannya kepada Virus.

                Virus mengangguk. “Macam ni, rasanya kami berdua sudah tahu apa yang telah berlaku pada awak.”

                Hibari terkejut. “Kau berdua sudah tahu? Apa yang telah berlaku?” Hibari tidak dapat menahan perasaan ingin tahunya hinggakan dia bangkit daripada tempat duduknya itu.

                 “Bertenang, duduk dulu,” Trip menenangkan Hibari lantas dia pun terus duduk. Matanya masih tidak lekang daripada Virus.

                 “Baiklah, begini ceritanya. Ada satu fenomena yang berlaku baru-baru ini,” Trip menyambung kembali.

                 “Fenomena? Fenomena apa?”

                 “Fenomena di mana beberapa orang dari sini hilang entah ke mana, diikuti pula dengan beberapa orang dari tempat lain yang muncul. Macam awaklah,” Virus menerangkan fenomena yang dikatakan oleh Trip tadi.

                 Hibari terdiam. Dia pernah dengar daripada  perbualan dua orang samseng yang telah mengganggunya sewaktu dia tiba di padang itu bahawa ada beberapa orang yang muncul di situ. Mungkin itulah yang telah berlaku seperti yang Virus katakan tadi.

                 “Fenomena itu dinamakan Kamikakushi,” Trip menyebut satu nama yang pelik. Hibari cuba untuk menterjemahkannya dalam fikirannya.

                 “Maksudnya Spirited Away… sama macam dalam filem Studio Ghibli itu?” Hibari membuat andaiannya.

                 Virus dan Trip tergelak membuatkan muka Hibari menjadi merah kembali. “Awak tengok filem itu?” Mereka berdua tanya serentak.

                 “M-mana ada, aku terdengar saja.”

                 “Tipulah. Kami pun pernah tengok cerita itu. Apa yang pasti Kamikakushi agak berbeza dengan apa yang ada dalam filem itu tapi konsepnya lebih kurang sama,” Virus menambah lagi.

                “Tapi apa yang berlaku pada awak ni berbeza sedikit dengan apa yang berlaku sebelum ini,” dahi Virus berkerut. Ah sudah, berbeza yang bagaimana pula? Hibari mula tidak sedap hati.

                 “Sebab semua orang yang muncul di sini semuanya dari zaman yang sama. Bolehlah dihantar pulang menggunakan kapal terbang ke tempat mereka. Tetapi awak… awak tiba dari 50 tahun pada zaman dahulu.”

                 “Maksudnya?”

                 Trip melakukan perkiraan di udara. “Maknanya awak tiba di sini 50 tahun akan datang dari zaman awak. Sini adalah Jepun yang akan datang. Awak tiba dari Jepun pada zaman silam. Macam itulah bunyinya.”

                 Kini giliran Hibari pula mengerutkan dahinya. “Kalau macam itu bagaimana aku harus pulang?”

                 Virus dan Trip terdiam. Mereka berdua berpandangan antara satu sama lain.

                 “Itu…. kami pun tidak pasti. Kami kena melakukan beberapa siasatan berkaitan dengan gajet yang telah membawa awak ke sini. Tapi jangan risau, kami akan usahakan.”

                “Relaks saja. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya,” Trip menepuk bahu Hibari.

                 Hibari sudah tidak berada di dunia yang nyata. Kepalanya penuh dengan segala kemungkinan yang bakal berlaku jika dia tidak boleh pulang ke zaman sebenarnya. Adakah dia akan tinggal di sini buat selama-lamanya? Dia secara spontan telah menggelengkan kepalanya, membuatkan Trip memandangnya dengan membuat muka yang pelik.

                 “Hmmm budak ni dah mengalami tekanan perasaan. Nak buat apa, Vi?” Trip mengalihkan pandangannya kepada Virus. Virus tersenyum.

                 “Apa kata kau bawa dia jalan-jalan di sekitar bandar? Mungkin dia boleh tenangkan fikirannya.”

                 “Okey juga tu. Hibari?”

                 Hibari mendongak. “Apa hal?”

                 “Jom keluar. Pergi jalan-jalan.”

                 “Buat apa?”

                “Perlu sebab ke? Kita ni nak pergi d-a-t-i-n-g~” Trip mengenyitkan matanya sambil tersenyum nakal membuatkan muka Hibari menjadi merah padam.

                 “Kau gila ke?! Tak nak aku!” Hibari terus bangkit dari tempat duduk, ingin lari dari tempat itu.

                 Virus tergelak melihat kelakuan mereka berdua. “Oi Trip janganlah main-mainkan dia tu. Hibari-kun, Trip nak ajak awak jalan-jalan di sekitar bandar, bolehlah awak menyesuaikan diri awak dengan gaya hidup yang baru ini.”

                “Baru? Huh, tak adalah baru sangat. Teknologi saja yang membezakan antara zaman kita dengan zaman budak ni.”

                 “Itulah yang aku maksudkan. Dia kenalah tahu macam mana nak hidup dengan teknologi yang maju,” Virus membuat muka yang bangga apabila menyebut perkataan maju itu. Trip menganggukkan kepalanya, mengiyakan kata-kata sahabatnya itu.

                 Hibari termenung. Apa yang mereka katakan dengan teknologi yang maju itu? Perasaan ingin tahunya bertambah. Setakat apa yang dia perhatikan sejak dia berada di sini, dia tidak merasakan apa-apa perbezaan. Lagipun dia tiada perkara yang hendak dilakukan hari ini. Pelawaan Trip ini membuka satu ruang untuk dia mengenali zaman akan datang. Hibari telah menetapkan fikirannya.

                 “Baiklah, aku akan ikut.”

                 “Yay! Saya tahu awak mesti ikut!” Dengan segera Trip memeluk Hibari dengan erat sambil bergelak besar. Hibari, yang kini tidak dapat melarikan dirinya, menyerah kalah dalam pelukan beruang itu.

                Virus hanya menggelengkan kepalanya melihat gelagat sahabatnya itu. “Nampak sangat gembira. Trip, lepaskanlah budak tu, dah macam putus nyawa aku tengok.”

                 “Hahaha maaf maaf, terkuat.” Trip melonggarkan pelukannya sambil meminta maaf. Hibari mengurut dadanya yang hampir-hampir kehabisan oksigen.

                 “Nasib baik hidup lagi. Kalau tak…” Hibari menjeling ke arah Trip yang masih tersengih.

                “Janganlah marah~ Baiklah, sebagai tanda meminta maaf, saya akan belikan awak sesuatu yang teristimewa di Pulau Midorijima!”

                 “Istimewa? Apa benda yang istimewa sangat tu?”

                 “Shhh, itu rahsia~ Mari, kita pergi sekarang!” Trip sudah mencengkam lengan Hibari sambil mengheretnya ke arah pintu utama. “Vi, kau nak ikut kami keluar?”

                 Virus hanya menggelengkan kepalanya. “Tak mengapalah, kamu pergi berdua saja. Aku ada urusan yang hendak diselesaikan.” Dia masih duduk di meja makan itu sambil tersenyum.

                 “Okey. Kalau macam itu, kami pergi dulu!” Trip memulas tombol pintu itu dan keluar daripada rumah, berpegangan tangan dengan Hibari.



So it's shopping time! Guess what will happen? Nah I don't know, I don't even have any idea to begin with ^^; //smacked
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...